PERKATAAN darurat itu sendiri bunyinya amatlah menggerunkan, malah kesempatan ini diambil oleh beberapa pihak berkepentingan terutamanya ahli politik dalam mencipta suasana cemas dalam cubaan menakut-nakutkan rakyat Malaysia khasnya serta pelabur asing amnya.

Sedar atau tidak, Malaysia berada dalam keadaan darurat terlama serta terpanjang iaitu dari 1969-2011 iaitu 40 tahun lamanya sejak dari tragedi 13 Mei 1969.

Sepanjang waktu tersebut, negara masih berkeadaan seperti biasa dan rakyat melaluinya waktu tersebut dalam penghidupan norma biasa.

Terdapat tiga jenis keadaan darurat yang boleh diisytiharkan oleh sesebuah kerajaan iaitu melaksanakan undang-undang tentera apabila kedaulatan negara tergugat seperti serangan anasir luar atau dalam negeri.

Darurat juga boleh diisytiharkan apabila ada cubaan oleh pihak berkepentingan yang menentang kerajaan atau menderhaka kerajaan atau rusuhan perkauman yang mana menggugat ketenteraman awam.

Selain itu juga, darurat boleh dilakukan apabila mengalami bencana alam atau wabak, bagi mengelakkan berlakunya perbuatan rusuhan dan tindakan-tindakan oleh orang ramai yang tidak dapat dikawal semasa kejadian bencana atau wabak tersebut berlaku.

Ia juga digunakan dalam keadaan memerlukan tindakan yang luar biasa oleh kerajaan, sebagai contoh apabila diperlukan untuk menggerakkan jentera kerajaan dalam membantu dan mengawal keadaan.

Darurat ini terdapat banyak definisinya dari sudut perundangan serta Perlembagaan negara. Namun, usahlah memomokkan rakyat dengan fakta palsu serta dakyah-dakyah hingga menimbulkan rasa panik dan ketakutan terhadap rakyat.

Pandangan saya, peristiharan darurat ini sepatutnya diadakan awal lagi.

Tindakan perlu diambil segera demi kebaikan rakyat dan negara. Yang paling penting, Covid-19 harus dikekang, banjir harus ditangani dan ekonomi perlu distabilkan.

Untuk menjayakan agenda-agenda ini, kestabilan kerajaan untuk satu jangka masa panjang harus wujud.

Jika kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik, gelombang Covid-19 kali ini, yang disulami dengan banjir, tidak dapat dibendung dan ia akan memberi impak besar kepada sosial serta ekonomi negara dan tentunya rakyat yang akan menerima kesannya.

Cukup-cukuplah wahai ahli politik. Jangan khianati amanah rakyat dengan mengambil kesempatan pada waktu gentir ini untuk kepentingan politik sendiri.

Jika benar anda semua pembela rakyat, buktikanlah, ketepikan perbedaan dan kita sama-sama bekerjasama mempertahankan rakyat dan menstabilkan keadaan ekonomi negara.

Jika semua ini sudah berakhir, saya amat pasti keadaan akan kembali normal.

Marilah bersama-sama berganding bahu untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Kasihanilah para frontliners yang bertungkus-lumus tanpa mengira siang dan malam.

Akhir kata, wahai rakyat Malaysia usahlah panik dengan “darurat” ini. Ia bukanlah seperti anda bayangkan dengan askar-askar di setiap pelusuk kampung.

Bertenang dan berdoalah untuk kesejahteraan kita semua. Insya-Allah krisis ini akan segera berakhir.

Didoakan semoga frontliners kita terus tabah dan gagah berjuang menentang Covid-19 ini, dan kami rakyat Malaysia akan sehabis baik duduk kekal di rumah. The least we can do.

Izwa Jurish
Ketua Srikandi Bahagian Seputeh
Naib Ketua Srikandi Bersatu Wilayah Persekutuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast