Penangguhan Kongres Perpaduan Negara 2021 susulan PKP

KUALA LUMPUR – Kongres Perpaduan Negara 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 17 Januari ini ditangguhkan.

Jurucakap Jawatankuasa Penganjur berkata, penangguhan itu akan dibuat ke suatu tarikh dimaklumkan kelak, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa tengah malam ini.

Kongres dua hari itu anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Turut bekerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Jawatankuasa Penganjur Kongres memohon maaf kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama serta sokongan diberikan.

PKP dilaksanakan di beberapa negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. – MalaysiaGazette