KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Imigresan dituduh terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram membabitkan lebih RM200,000 hari ini dalam dua kes berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tertuduh, Yusrazif Wan Yusoh yang ditahan dalam Operasi Selat baru-baru ini juga didakwa menerima rasuah bernilai RM15,000 yang bertujuan melepaskan warga asing.

Bagaimanapun, Yusrazif yang tunduk sepanjang pertuduhan dibacakan menggeleng kepalanya sebelum mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi kes yang dihadapkan di hadapan Rozina, tertuduh didakwa telah menerima wang RM215,990 daripada Yuen Hon Loong ke dalam akaun Alliance Islamic Bank Berhad milik Hong Loong di Alliance Islamic Bank Berhad, cawangan Putrajaya, antara 27 Februari 2019 dan 13 November 2020.

Yusrazif yang berkemeja biru didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam satu lagi kes rasuah yang dibicarakan di hadapan Hakim Suzana Hussin melibatkan RM15,000, Yuzzszarif  didakwa melakukan kesalahan itu ketika sedang bertugas Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Tertuduh didakwa telah menerima wang RM15,000 daripada Voon Pot Lim dan Hon Loong bagi melepaskan warga Filipina dan China.

Jika sabit kesalahan tertuduh berhadapan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin selain meletakkan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekat pada setiap bulan.

Bagaimanapun tertuduh melalui peguamnya, Azrul Zulkifli Stork merayu untuk pengurangan ikat jamin memandangkan tertuduh mempunyai empat orang anak dan menjaga ibu mertuanya yang menghidapi sakit kronik.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM55,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dimohon peguam pendakwa.

Pada masa sama Mahkamah juga membenarkan permohonan pertuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama dan mengguna pakai jamin serta syarat sama selain menetapkan 18 Februari ini bagi sebutan kes. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalaulah benar didapati bersalah kedua2 PEMBERI dan PENERIMA rasuah wajiblahlah dijatuhkan hukuman penjara mandatori.

    Adalah tidak adil sekirannya PEMBERI2 rasuah tersebut dilepasbebaskan atau hanya didenda sahaja!

    Rakyat memerhati!

Comments are closed.