KUALA LUMPUR – Aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok hingga 26 Januari ini.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua syarikat produksi perlu akur dengan arahan itu dan semua aktiviti penggambaran perlu dihentikan.
“Bagi kawasan yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), aktiviti penggambaran boleh diteruskan seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,” katanya.
Finas akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui medium hebahan media dan laman web FINAS di www.finas.gov.my serta media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter @FINASMalaysia.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilaksanakan bermula esok sehingga 26 Januari ini bagi menangani jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.
Enam negeri yang menjalani PKP adalah Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka.
Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak pula berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – MalaysiaGazette