Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah melakukan pemeriksaan kenderaan motosikal semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.0 dilaksanakan di LRT Bukit Kinrara 5, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2021.

SERDANG – Sebanyak 4,178 kenderaan diperiksa menerusi empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, keempat-empat lokasi SJR tersebut membabitkan Lebuh Raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara 5, Jalan Puchong Lama menghala Jalan Klang Lama (hadapan Telekom Taman Tenaga), Jalan Putra Permai dan Seksyen 8, Jalan Serdang Raya.

Anggota polis melakukan pemeriksaan kenderaan semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.0 dilaksanakan di LRT Bukit Kinrara 5, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2021.

“Seramai 6,497 individu turut diperiksa di keempat-empat lokasi SJR tersebut dalam tempoh masa sama hari ini.

“Empat lokasi ini dipilih berdasarkan laluan keluar dan masuk ke daerah Serdang dan kita mengutamakan pemeriksaan ke atas kenderaan yang ingin keluar dari sini manakala satu lagi kita sekat laluan masuk iaitu di Bandar Kinrara 5 lokasi di mana kita berada sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi SJR hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, polis turut menerima sebanyak 698 permohonan pergerakan rentas daerah dari orang awam dengan enam daripadanya ditolak.

Anggota polis melakukan pemeriksaan kenderaan semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.0 dilaksanakan di LRT Bukit Kinrara 5, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2021.

Ujar Razali, enam permohonan yang ditolak itu membabitkan alasan yang tidak munasabah antaranya ingin bertemu rakan, makan di restoran serta lain-lain lagi alasan yang tidak memuaskan.

“Sebanyak 692 permohonan diluluskan pada hari pertama PKP selepas mereka mengemukakan surat dan dokumen rawatan selain mempunyai kecemasan akibat kematian dan menghantar anak pulang ke asrama.

“Setakat ini juga tiada sebarang kompaun dikeluarkan kerana kita masih dalam tempoh mendidik orang ramai dan hanya meminta mereka untuk berpatah balik. Kerjasama yang diberikan oleh orang awam juga amat baik,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah bercakap pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan kenderaan semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.0 dilaksanakan di LRT Bukit Kinrara 5, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2021.

Dalam pada itu, Razali berkata, sekatan di Plaza Tol Sungai Besi akan dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan dan perkara tersebut akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Katanya lagi, seramai 299 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang terlibat dalam penugasan SJR di empat lokasi tersebut dengan dibantu 32 anggota Angkatan Tentera Malaysia. – MalaysiaGazette.