Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar menyahut saranan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk berjumpa berbincang mengenai isu perobohan gerai penjaja di Bulatan Puchong Permai, dekat Subang Jaya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, beliau menyerahkan kepada Amirudin untuk menetapkan tarikh, masa dan tempat bagi perjumpaan itu.

Katanya, beliau berterima kasih dengan sikap prihatin Menteri Besar yang menyatakan kesediaannya untuk berdialog, sekali gus mencari jalan penyelesaian bagi isu berkenaan.

“Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Selangor semalam yang bersetuju untuk berdialog dengan saya berkenaan isu perobohan gerai penjaja di Bulatan Puchong Permai.

“Saya menyerahkan kepada beliau untuk menetapkan tarikh, masa dan tempat. Saya akan hadir,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, sebanyak 43 penjaja terkesan akibat tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai makan mereka yang beroperasi di Bulatan Puchong Permai sejak 20 tahun lalu.

Tindakan itu, yang mendapat perhatian Noh, menyifatkan tidak berhati perut ketika rakyat berdepan dengan penularan Covid-19.

Kata beliau, walaupun MBSJ menggantikan lokasi baharu untuk peniaga itu berniaga, tetapi tidak sesuai dan tidak menepati standard ditetapkan seperti tiada kemudahan termasuk bekalan air.

Sementara itu, dalam kenyataan balas, Amirudin menyahut cabaran Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang untuk berdialog dengannya.

“Tiada masalah kalau (Noh) nak jumpa. Saya sedia berjumpa dengan beliau, tetapi setakat ini belum ada (perjumpaan) lagi,” katanya seperti dilaporkan sebuah media, kelmarin. – MalaysiaGazette