Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang masuk hari pertama hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengikuti arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Menurut beliau, enam negeri yang dilaksanakan PKP mulai hari ini ialah Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

“PKPB pula melibatkan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan Terengganu dan Pahang, manakala Sarawak dan Perlis dilaksanakan PKPP,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19, hari ini.

Mengenai tangkapan atas kesalahan ingkar arahan PKP, beliau berkata, dalam operasi Task Force Operasi Pematuhan semalam, polis menahan 253 individu.

Kata beliau, dari jumlah itu, 252 individu telah dikompaun, manakala seorang direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka seramai 115 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11).

Sementara itu, dalam Operasi Benteng kawalan sempadan negara, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 18 pendatang asing tanpa izin, tiga tekong dan merampas tujuh kenderaan darat.

Beliau berkata, Operasi Benteng melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Mereka mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mengenai barang keperluan asas sepanjang PKP 2.0, Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan bekalan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Kata beliau, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 747 premis perniagaan termasuk 552 peruncit, 166 pemborong dan 29 pengilang.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,350 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan semua premis yang diperiksa mematuhi SOP ditetapkan.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – MalaysiaGazette