PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Mayat lelaki yang ditemukan orang awam di dalam sebuah longkang di Jalan Tampoi Lama di sini semalam, dipercayai mangsa langgar lari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) JBS menerima maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan iaitu lelaki warga asing pada pukul 10.20 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan pejalan kaki yang dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis dengan nombor pendaftaran yang tidak diketahui dalam satu kejadian kira-kira pukul 9 pagi hari sama.

“Dipercayai ketika mangsa berjalan kaki di sebelah kiri bahu jalan, mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lalu tercampak ke dalam longkang.

“Mangsa didapati cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Padzli berkata, pihaknya dalam usaha mengesan saksi bebas dan orang ramai yang mengetahui kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 07-2237977 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam satu kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.37 pagi semalam.

Dua jentera dan 10 anggota kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai berusia 30-an itu.

“Mangsa berada di dalam longkang sedalam enam kaki dan Pihak Keluaran Operasi membantu mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,”  katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.35 tengah hari. – Bernama