Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Lebih 4,200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akur dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 26 Januari ini.

Mereka yang terdiri daripada pemilik restoran di enam negeri yang dikenakan PKP mengakui terkesan dengan pelaksanaan itu.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pada hari pertama PKP 2.0 dilaksanakan, pihaknya mendapati perniagaan merosot sehingga 80 peratus, sekali gus menjejaskan pendapatan ahli di negeri berkenaan.

Beliau memohon kerajaan memberi kelonggaran untuk restoran dan penyedia perkhidmatan makanan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.

Ini katanya, termasuk mengehadkan jumlah pelanggan kepada dua orang setiap meja.

“Cadangan kelonggaran ini berdasarkan pengalaman PKP kali pertama tahun lalu yang terbukti berkesan mengekang penularan wabak serta membantu ekonomi pengusaha restoran.

“Kami sedih dan kecewa kerana ramai kalangan ahli terpaksa menggulung tikar akibat terkesan dari PKP 1.0 sebelum ini. Ini memberikan sedikit kegusaran kepada peniaga apabila kerajaan memperkenalkan PKP 2.0.

“Kami amat berharap agar sedikit kelonggaran diberi kepada peniaga,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Selain itu, Jawahar Ali juga memohon waktu operasi dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 8 malam kepada 10 malam bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam.

Ini kerana, pelaksanaan pada hari pertama menunjukkan ramai yang hendak membeli makanan selepas jam 8 malam atas faktor kerja dan sebagainya.

Katanya, setakat ini PRESMA berpuas hati dengan pematuhan SOP dalam kalangan ahli dan akan terus memastikan ia dipatuhi demi kebaikan bersama.

“Ahli PRESMA yang terbabit di negeri PKP, komited untuk mematuhi arahan dan SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita juga akan bersama kerajaan membantu petugas barisan hadapan menerusi program tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan semua bebas dari wabak pandemik ini.

“Inisiatif seperti pusat aduan One Stop Centre seperti pernah dijalankan sebelum ini akan diteruskan bagi menyalurkan masalah rakyat kepada pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette