Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pengguna, tiada pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr ShamSul Anuar Nasarah.

Malah beliau turut memaklumkan semua perkhidmatan pembekalan elektrik yang lain seperti penyambungan bekalan baharu, pembaikan kerosakan dan perkhidmatan pelanggan TNB dan Facebook TNB CareLine berjalan seperti biasa.

Selain itu beliau berkata, semua operasi Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh TNB akan diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh perintah darurat dan PKP dengan mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

“Bagi urusan transaksi atau pembayaran, saya menasihatkan pihak pengguna untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian yang boleh dicapai menerusi laman sesawang TNB dan aplikasi myTNB.

“Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan lanjut, pihak pengguna bolehlah terus menghubungi TNB melalui saluran-saluran yang telah saya nyatakan tadi,” katanya menerusi kenyataan.

Shamsul turut menasihati pengguna agar menggunakan elektri secara berhemah sepanjang PKP ini kerana dijangka penggunaan bakal meningkat daripada kebiasaan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Ini berikutan ramai pihak pengguna mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah dan anak-anak pula menghadiri sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Antara tindakan yang boleh diamalkan di rumah adalah seperti mematikan suis peralatan elektrik, seperti komputer selepas selesai menggunakannya dan tidak membiarkan penghawa dingin, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong. Pihak pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai panduan penggunaan elektrik yang cekap di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga dan TNB,” tambahnya.

Beliau menyarankan agar pengguna elektrik memanfaatkan Program SAVE 2.0 untuk mendapatkan e-rebat RM200 bagi membeli penyaman udara dan peti ais cekap tenaga sebagai langkah untuk menjimatkan bil elektrik di rumah masing-masing.-MalaysiaGazette