Seramai 76 Pati warganegara Indonesia yang ditangkap ATM akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Anggota tentera dari Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak, Melaka (3 Divisyen) menangkap seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua serbuan semalam dan pagi ini.

Semua PATI warganegara Indonesia itu, yang cuba keluar dari negara ini dan masuk melalui jalan tidak sah, ditahan dalam Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada 13 dan 14 Januari.

Jurucakap 3 Divisyen berkata, kumpulan pertama ditangkap kira-kira jam 3.40 pagi semalam oleh anggota petugas Pos Pemerhati, selepas mengesan kehadiran sebuah bot pancung yang menurunkan PATI pada jarak 100 meter dari pesisir pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor.

“Pada masa sama, anggota petugas rondaan turut mengesan kelibat PATI sedang berkumpul dalam hutan di pesisiran pantai berhampiran lokasi sama pendaratan bot berkenaan.

“Pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan itu.

“Ketika itu juga, pasukan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membuat pengawasan di sekitar kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jurucakap itu berkata, hasil serbuan sekitar jam 4.35 pagi itu, anggotanya berjaya menahan 55 Pati sedang bersembunyi dalam hutan berhampiran kawasan tersebut.

Namun, pada jam 5.25 pagi pula, seramai dua lagi Pati ditahan, manakala jam 7.50 pagi semalam, 13 Pati ditangkap, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 70 orang.

Mereka terdiri daripada 64 lelaki dan enam perempuan warganegara Indonesia yang berusia sekitar 21 hingga 47 tahun.

Sementara itu, pada jam 4.55 awal pagi ini, anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan pergerakan sebuah bot pancung menuju ke arah Kuari Batu, Kampung Tanjung Che Lahom dan menurunkan pendatang asing di jarak 50 meter dari pesisir pantai.

Lima Pati warganegara yang ditahan ATM pagi ini, akan diserahkan kepada Imigresen.

“Hasil serbuan sekitar jam 5.20 pagi ini oleh Tim QRF bersama Tim Dron BSPP, berjaya menahan lima Pati yang baharu tiba ke negara ini, manakala jam 7.15 pagi ini juga, seorang lagi Pati ditahan sekitar Kampung Masjid Teluk Ramunia.

“Pati ini dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal dan semua mereka terdiri daripada lima perempuan bersama seorang lelaki berusia 27 hingga 35 tahun.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM69,748.50 melibatkan wang tunai pelbagai jenis mata wang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit,” katanya.

Semua Pati yang ditangkap akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Semua Pati ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

Laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai, sebelum pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki Pati di sekitar kawasan tangkapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.