Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) tidak pernah melantik mana-mana agen atau pihak ketiga untuk mengendalikan program Rekalibrasi pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

Imigresen menasihati orang ramai khususnya majikan supaya lebih berhati-hati dalam mengendalikan program Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin di negara ini.

Agensi kerajaan itu memberi amaran supaya majikan tidak sesekali terpedaya atau menggunakan agen atau pihak ketiga dalam menguruskan pelan tersebut rentetan wujudnya agen atau pihak ketiga yang cuba menawarkan khidmat berkenaan dengan jumlah bayaran tertentu.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelan rekalibrasi PATI merangkumi program tenaga kerja dan program rekalibrasi pulang untuk warga asing telah bermula pada 16 November 2020.

“Namun, Imigresen telah menerima maklumat terdapat cubaan oleh agen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi ini kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dikenakan bayaran tertentu.

“Jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi ini,” katanya dalam kenyataan ini.

Sehubungan dengan beliau menasihatkan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang urusan dengan agen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi.

Katanya, pendaftaran program ini hanya boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my.

“Jabatan ini akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo.-MalaysiaGazette