Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Surat pelantikan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabatnya pagi ini.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman, pelantikan itu bagi menggantikan tempat Ketua Pengarah sebelum ini, Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu.

Katanya, Abdul Aziz yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, merupakan anak kelahiran Kelantan.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 1985 dan memiliki Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama dari Muslim College London tahun 2003.

“Beliau berpengalaman sebagai penjawat awam lebih 34 tahun apabila mula menyertai skim perkhidmatan Pegawai Hal-Hal Ehwal Islam pada tahun 1986 sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk berkhidmat di luar negara sebagai Pegawai Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada tahun 1997 dan Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia pada tahun 2009 hingga 2013,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Selain itu, menurut Zakaria, Ketua Pengarah baharu itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Katanya, sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) pada 1 April 2020, beliau banyak menabur bakti di luar ibu pejabat Jakim.

“Antaranya sebagai Pengarah Jakim Cawangan Sarawak tahun 2013 hingga 2017, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 2017 hingga 2018 sebelum diberi kepercayaan menerajui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 20 April 2018 hingga 31 Mac 2020.

“Jakim merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Abdul Aziz bagi menggalas tugas dan amanah sebagai Ketua Pengarah bermula 15 Januari, hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette