KUALA LUMPUR – Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) menggesa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak supaya berkolaborasi untuk menurunkan harga barangan kegunaan harian dan barangan penting di kedua-dua negeri tersebut dengan kadar segera.
Permintaan mendesak ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bandar-bandar utama iaitu Kuching, Sibu dan Miri sejak Rabu lalu.
Presiden dan Pengasas TRADA, Joseph Anak Janting berkata, komuniti di Sabah dan Sarawak telah lama dan berterusan terkena impak krisis Covid-19 dan belia serta golongan B40 paling teruk terjejas disebabkan kehilangan punca pendapatan atau akibat ketiadaan pekerjaan.
Beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat di Sabah dan Sarawak akibat krisis ini, menjadi bertambah buruk disebabkan kos tinggi barangan kegunaan harian dan barangan penting.
Barangan seperti pakaian, makanan, barangan pengguna dan kenderaan sememangnya lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia disebabkan faktor seperti logistik, saiz pasaran dan sistem pengedaran.
Menurut Joseph, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada masa ini sedang melaksanakan program menyelaraskan harga barangan di negara ini ekoran peruntukkan sebanyak RM40 juta di bawah Belanjawan Negara 2021, oleh itu menyeru proses ini disegerakan.
”TRADA percaya bahawa harga barangan kegunaan harian pengguna hendaklah diturunkan lebih rendah lagi akibat krisis ini dan dengan mempertimbangkan paras purata pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak, yang jauh lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia.
”Dengan lebih ramai rakyat berdepan dengan tekanan kewangan, harga yang mahal akan mendorong pengguna beralih kepada produk-produk pasaran gelap, yang begitu mudah diperoleh di Sabah dan Sarawak disebabkan sempadan negara yang luas. Situasi ini nanti akan mengakibatkan segala macam masalah sosial dan ekonomi,” ujar Joseph.
Mengambil contoh pasaran rokok seludup, Joseph berkata, harga rokok sah di Sabah dan Sarawak adalah tiga hingga lima kali lebih mahal berbanding rokok seludup.
“Itulah sebabnya mengapa Sabah dan Sarawak, 9 daripada 10 rokok yang dijual adalah rokok seludup. Itu adalah penguasaan keseluruhan pasaran oleh penyangak rokok seludup,” dakwanya. – MalaysiaGazette