Perkhdimatan dobi antara premis yang dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam mulai esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kedai cermin mata dan dobi layan diri dibenarkan beroperasi selepas kerajaan mendapati ada keperluan untuk berbuat demikian.

Kebenaran beroperasi ini mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan ini dan ia tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan
dalam prosedur pengoperasian standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya di premis masing-masing.

Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan.

”Sekiranya, pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, kementerian turut akan mengambil tindakan drastik termasuklah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

”Adalah menjadi harapan KPDNHEP semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Dengan tindakan dan kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara serta mengawal jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette