COPENHAGEN – Tindakan balas daripada dos pertama vaksin Covid-19 mungkin menjadi punca kematian 23 orang warga emas termasuk mereka yang lemah di rumah-rumah penjagaan, dakwa Agensi Ubat-ubatan Norway (NoMA).

Katanya, kajian vaksin oleh Pfizer-BioNTech hanya melibatkan sebahagian kecil warga emas berusia lebih 85 tahun tetapi tidak membabitkan pesakit yang tidak stabil atau mempunyai penyakit akut.

“Penilaian menunjukkan reaksi teruk terhadap vaksin ini, seperti demam dan mual, mungkin telah menyebabkan kematian kepada pesakit yang lemah,” kata Sigurd Hortemo, ketua doktor NoMA.

Laporan mengenai tindak balas ini termasuk kematian yang diterima setiap hari dan secara berterusan sedang dinilai oleh Badan Perubatan Norway dan Institut Kesihatan Umum Nasional (NIPH).

Hasil daripada 13 autopsi si mati yang dilakukan untuk penilaian, NIPH telah mengemas kini garis panduan vaksinasi Covid-19, memberikan nasihat yang lebih terperinci mengenai vaksinasi ke atas orang tua yang lemah.

Bagi mereka yang lemah, kesan sampingan vaksin yang agak ringan boleh membawa akibat yang serius.

Manakala mereka yang masih mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, manfaat vaksin itu mungkin sedikit atau tidak relevan, menurut garis panduan NIPH.

Steinar Madsen, pengarah perubatan NoMA berkata, di rumah penjagaan Norway, kira-kira 400 orang mati dalam seminggu.

Semua kematian yang berlaku dalam masa yang berkaitan dengan vaksinasi dinilai dengan teliti kerana setakat ini tidak ada petunjuk bahawa vaksin menyebabkan kematian.

Katanya, mulai sekarang doktor perlu mempertimbangkan dengan hati-hati siapa yang harus diberi vaksin.

Mereka yang sangat lemah dan di akhir hayat dapat divaksinasi setelah membuat penilaian individu, ujar Madsen.

Lebih daripada 25,000 rakyat Norway telah menerima vaksin sejak 27 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast