Mohd Ajib Ismail

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Program Wilayah Persekutuan Bermunajat di semua masjid, surau seliaannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program itu yang bermula selepas solat Maghrib setiap hari dan solat Jumaat setiap minggu melibatkan masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, penganjuran program itu berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh Wilayah Persekutuan dengan peningkatan kes dan angka kematian serta penguatkuasaan PKP.

“Menyedari keadaan ini, JAWI mengambil inisiatif menganjurkan Program Wilayah Persekutuan Bermunajat yang bertujuan menyeru masyarakat muslim untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan dibasmi segera.

“Kita juga mahu negara Malaysia serta seluruh Wilayah Persekutuan mendapat rahmat serta perlindungan Allah dan dibebaskan dari wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib menyarankan program itu diadakan di masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing setiap hari PKP berkuatkuasa.

Katanya, selepas solat Maghrib dan solat Jumaat, jemaah diminta mengadakan solat Hajat, zikir dan doa munajat.

“Bagi memastikan program ini diadakan dengan berkesan, setiap jawatankuasa masjid dan surau perlu mengikut kaedah pelaksanaan ditetapkan seperti imam yang bertugas, memilih imam terbaik di peringkat masjid, surau Jumaat dan surau.

“Imam mesti membaca teks zikir dan doa munajat yang disediakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan serta pelaksanaannya dibuat serentak di seluruh masjid, surau Jumaat dan surau bermula selepas solat Maghrib malam ini sehingga wabak pandemik berakhir,” katanya. – MalaysiaGazette