Azman Ismail

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan satu aplikasi baharu secara percuma bagi memudahkan rakyat merancang perjalanan mereka sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aplikasi itu merupakan satu lagi kemudahan baharu dalam era komunikasi digital yang diperkenalkan pengendali lebuh raya tersebut untuk membantu meningkatkan lagi pengalaman perjalanan untuk semua pelanggan lebuh raya.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, aplikasi pengendali lebuh raya itu menyediakan perkhidmatan bantuan PLUSRonda kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.

Kemudahan aplikasi PLUS yang membolehkan pelanggan lebuh raya berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai makkumat tentang PLUS.

“Pelanggan yang terkandas atau mengalami masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya boleh menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan hanya menekan butang SOS pada aplikasi tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebaik sahaja butang SOS ditekan pada aplikasi khas yang dimuat turun dalam telefon bimbit, petugas PLUS dapat mengetahui kedudukan semasa pelanggan yang terkandas di lebuh raya di bawah kendaliannya.

Menurutnya, sejurus PLUS memperolehi maklumat daripada butang SOS, pegawai Pusat Kawalan Trafik PLUS akan menghubungi pelanggan yang terkandas secepat mungkin untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi pelanggan sebelum pasukan PLUSRonda diarahkan untuk ke lokasi dengan segera.

Aplikasi PLUS turut menyediakan kemudahan pelanggan lebuh raya membuat pra-pesanan makanan di R&R terpilih.

“Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone, turut membolehkan pelanggan kami merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

“Sejak diperkenalkan, setakat ini, kira-kira 380,000 orang telah memuat turun aplikasi tersebut dan kebanyakan pelanggan harian kami telah menggunakan Aplikasi PLUS untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya,” ujarnya.

Tambah beliau, aplikasi berkenaan membolehkan mereka melihat sendiri paparan kamera litar tertutup (CCTV) mengenai keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

“Selain itu, aplikasi tersebut juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol untuk perjalanan mereka serta membuat pra-pesanan makanan di Rumah Rehat dan Rawat (R&R) terpilih atau berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS,” kata Azman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast