Peniaga kecil antara golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP dan pandemik Covid-19. Gambar hiasan
PANDEMIK Covid-19 pada hari ini mengakibatkan jumlah jangkitan seramai 95,990,091 orang dan mengorbankan lebih 2, 048, 565 nyawa setelah setahun melanda dunia. Statistik jangkitan dan kematian terkini rakyat tempatan juga menunjukkan situasi pandemik di Malaysia masih terumbang-ambing.
Kita masih belum menang.
Dengan matlamat negara agar 80% rakyat menerima vaksin menjelang suku pertama tahun 2022, Malaysia juga sedang dalam proses menambahbaik dan membantu seberapa boleh
kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan rentan dan kurang berkemampuan.
Sementara solusi vaksin menyelesaikan pandemik, sebilangan rakyat masih sengsara dari segi kewangan dan taraf hidup.
Susulan daripada empat pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih RM300 billion yang dilancarkan pada tahun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan bantuan kerajaan tahun ini adalah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) di mana sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk memelihara kebajikan rakyat.
Antara matlamat PERMAI adalah Matlamat Ketiga, iaitu menyokong kelangsungan perniagaan rakyat. Dengan memahami kesukaran menguruskan aliran tunai, perbelanjaan
utiliti dan sewa premis, sepuluh inisiatif diutarakan oleh PM di bawah Matlamat Ketiga. Demi membantu rakyat juga, kerajaan menyegerakan pelaksanaan skim-skim mikro kredit
dan kempen e-dagang menerusi PERMAI.
PERMAI harus disambut baik malah inisiatif yang tersenarai amatlah sejajar dengan prinsip amalan terbaik seperti yang dicadangkan oleh banyak kesatuan perusahaan kecil dan
sederhana bukan sahaja di Malaysia malahan luar negara.
Ini penting kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa bersaing dengan pasaran negara luar yang masuk ke dalam Malaysia.
Walaupun pasaran antarabangsa bermaksud negara mampu memasuki dan memperoleh akses pasaran yang lebih besar, namun merisikokan keseimbangan pasaran tempatan sendiri yang menghadapi persaingan hebat dengan produk antarabangsa. Padahal PKS pada masa yang sama merupakan tunggak utama dalam pembangunan ekonomi negara ASEAN. di mana 95-99 peratus perniagaan di rantau kita ini adalah terdiri daripada PKS, menjadikan PKS sebagai 10-30 peratus penyumbang eksport negara.
PERMAI Seiring Aspirasi Global
Strategi PERMAI nampaknya bersesuaian dengan keperluan pengusaha kecil di negara membangun seperti Malaysia.
Di United Kingdom, PKS turut mendapat keutamaan. Laporan The Federation of Small Businesses (FSB) pada Januari 2020 menyatakan di UK, PKS menyumbang peluang pekerjaan namun mengalami beberapa kekangan seperti PKS lazimnya tidak cakna tentang keistimewaan yang diberikan di bawah perjanjian-perjanjian perdagangan.
Laporan FSB ini ada menyatakan bahawa ekonomi negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Malaysia sangat bergantung kepada PKS tetapi pendedahan ilmu dan manfaat PKS jarang diberikan kepada peniaga PKS.
Sebagai negara maju, UK mengambil pendekatan berhati-hati dan menjaga PKS mereka terutama musim pandemik, maka kita wajar mengambil langkah yang sama juga sebagai negara ahli demi menjaga kepentingan negara. Tambahan pula, PKS diberikan keutamaan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang berintegrasi dan bersepadu.
Di peringkat serantau pula, kemajuan PKS adalah keutamaan dalam merapatkan jurang ekonomi ASEAN, sama seperti saranan FSB di UK. Ini kerana PKS diberikan keutamaan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang berintegrasi dan bersepadu dalam
merapatkan jurang ekonomi ASEAN Malah salah satu fokus Pelan Tindakan Strategik ASEAN ialah PKS sebagai penyedia rangkaian pembekalan global yang bernilai tinggi.
Persatuan Akauntan Bertauliah yang Carta (ACCA) semenjak 2016 telah melaporkan dua faktor penting yang harus dilihat dalam membantu PKS adalah pertama, program
pembelajaran e-dagang yang perlu dijalankan kini di atas talian dek kerana Covid-19, dan kedua, tidak lupa juga mutu bahasa yang digunakan dalam pembelajaran tersebut mestilah
difahami oleh peniaga PKS yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang pendidikan dan ilmu pengetahuan sedia ada.
Di bawah ASEAN SME Academy iaitu program anjuran AEC, telah
ada platform bagi e-pembelajaran bagi pengusaha-pengusaha SME di negara-negara ASEAN yang bersesuaian dengan keadaan pandemik hari ini. Tidak lagi perlu hadir ke kelas secara
bersemuka. Malah negara maju seperti Singapura pernah membantu memberikan dana dan perkongisan pengalaman tentang ilmu pasaran digital kepada rakan-rakan ASEAN seperti
Kemboja, Laos dan Vietnam. Dalam The Asean Post baru-baru ini, perniagaan secara cashless adalah langkah pendigitalan pertama yang wajar dilaksanakan.
Bayangkan kita membeli barangan runcit di Pasar Payang, Terengganu menggunakan kad debit tanpa pertukaran wang ringgit dari tangan pembeli kepada tangan peniaga. Tidak mustahil bukan? Dalam perjanjian perdagangan antarabangsa yang ditandatangani Malaysia, ada disebutkan kedudukan PKS. Contohnya, dalam bab 14 Perjanjian Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP) yang ditandatangani oleh Malaysia dan 14 negara lain, Perkara 14.1 ada menyatakan bahawa kemudahan dan galakan kepada PKS diiktiraf bukan sahaja oleh negara ASEAN malahan negara-negara maju yang turut memeterai RCEP seperti Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Kesimpulan 
Dalam keadaan Proklamasi Darurat kesihatan yang diisytiharkan di Malaysia bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, adalah wajar usaha kerajaan ini dipuji dalam membantu golongan terkesan, termasuklah bantuan lain seperti mengawal kenaikan harga barang di bawah struktur pentadbiran jawatankuasa Proklamasi Darurat, yang semestinya memerlukan
perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.
Di bawah PERMAI, tawaran mikro kredit baik untuk jangka pendek namun kita tidak boleh melihat dari sudut pandang jangka pendek sahaja. Lihat saja cadangan laporan FSB dan
ACCA yang melihat PKS mampu cemerlang tidak hanya dengan cara pinjaman wang tetapi penyampaian ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman. Sebagai peniaga kecil wajarlah juga berusaha keras melengkapkan diri dengan ilmu e-dagang demi perkembangan diri dan perusahaan masing-masing yang pastinya memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara tercinta.
PERMAI adalah peluang yang harus dimanfaatkan agar kehidupan rakyat se‘permai’ aspirasi PERMAI dan aspirasi global. Kita jaga kita.
Dr Amalina Ahmad Tajudin
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast