Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan bagi mencabar proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, kata peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 150 (8)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150(8)(b) memperuntukkan bahawa “tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi darurat.”

Haniff Khatri berkata permohonan cabaran itu sepatutnya ditumpukan kepada ‘nasihat’ perdana menteri dan bukan terhadap proklamasi darurat.

“Bagi saya, secara jujur, peruntukan sedemikian (Perkara 150 (8)) akan menjadikan permohonan itu amat sukar dilayan oleh mahkamah, meskipun jika anda mencabar nasihat yang diberikan (perdana menteri), kerana mahkamah akan memutuskan bahawa jika kami mendengar permohonan ini, secara tidak langsung kami melayan permohonan bagi mencabar Proklamasi Darurat.

“Situasi mengenai perkara ini tidak jelas kerana belum terdapat kes dari segi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu,  Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata proklamasi itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati, oleh itu tidak ada alasan yang membenarkan sebarang permohonan dibuat kepada mahkamah berhubung kesahannya.

Dr Shamrahayu Ab. Aziz

“Sesetengah peguam mungkin berhujah bahawa terdapat niat tidak baik, saya tidak rasa ini adalah alasan yang kukuh kerana peruntukan (perlembagaan) menyebut bahawa apa pun sebabnya, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan proklamasi darurat,” katanya.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat yang akan dikuat kuasa sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung pandemik COVID-19 yang semakin memburuk di Malaysia.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Cara2 nak buang masa bg golongan senget dgn golongan phd auta yg bersekongkol.. org nk cari duit makan pun susah dia sibuk dlm perkara tahap jahilliah.. org nak pilihanraya ni patut tunjuk baik, tunjuk prihatin nak bantu, tunjuk camne nak dapat pendapatan, tunjuk macam mana nak jimat air, elektrik, bagi tip-tip nak servive dalam masa susah ni. Bawa duit sebebat bagi kat orang susah, ni buat bayar loyar giler -giler sebab nak tunjuk dia paling phd. Lau tak de 30sen leh mintak kat sape-sape lalu lalang tepi jamban awam, tolong kencing ditempat yang dibenarkan saja ya..

Comments are closed.