ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya akan membuka jalan sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara berikutan pembukaan sesi persekolahan mulai esok untuk pelajar Tingkatan Lima.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, jalan berkenaan akan dibuka secara berjadual, bersyarat dan terhad kepada guru dan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat dalam sesi persekolahan sahaja.

“Pembukaan jalan itu akan dilaksanakan mulai Isnin hingga Jumaat mulai 6.30 pagi hingga 7.30 pagi untuk persekolahan sesi pagi.

“Manakala untuk sesi petang adalah bermula 2.30 hingga 3.30 petang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hanya sebilangan kecil individu yang akan dibenarkan.

Menurutnya, seorang penjaga sahaja dibenarkan bersama pelajar beruniform dan penjaga perlu menggunakan kenderaan persendirian.

“Guru sekolah pula perlu memastikan pas guru dibawa bersama, dan bas serta van sekolah yang membawa pelajar beruniform perlu mempunyai surat kebenaran dari sekolah yang terbabit mengambil dan menurunkan pelajar beruniform,” katanya.

Nik Ezanee turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan untuk melepasi laluan ini.

Jika ingkar tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan mereka boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, ujarnya. – MalaysiaGazette