Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mendengar penerangan oleh seorang petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, semalam.

KUALA LUMPUR – Bas Smart Selangor sedia membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Maeps Serdang bagi memudahkan kerja pihak hospital.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kes harian di Lembah Klang yang semakin tinggi menyebabkan khidmat penghantaran (pesakit) tidak mencukupi.

“Kedengaran pelbagai keluhan pesakit di rumah kerana masih belum dibawa ke pusat kuarantin meskipun sudah sampai masa,” katanya dalam taklimat ketika melawat pusat kuarantin semalam.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor juga telah menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi membawa penumpang yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin pada bulan April lalu.

Tindakan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 susulan arahan kerajaan supaya penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Subang menjalani kuarantin di tempat khas. – MalaysiaGazette