UMNO
KUALA LUMPUR – Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KAGUM) mendesak agar satu resolusi yang dipimpin Presiden UMNO bersama semua Ahli Parlimen agar menubuhkan  jawatankuasa pemandu mengkaji kesan darurat dalam menarik pelabur asing.
Jawatankuasa ini perlu mewujudkan sekretariat umpama Kabinet alternatif dalam kalangan Majlis Tertinggi dengan cadangan dan gesaan yang lebih bermutu tinggi berbanding barisan Kabinet masa kini.
Selain itu, jawatankuasa tersebut perlu mewujudkan pungutan suara dalam kalangan ahli mengenai masa hadapan
bersama kerajaan yang dilihat gagal di mata rakyat.
Biro Pengaduan dan Perpaduan Awamnya, Mohd Saufi Mahyuddin berkata, KAGUM yakin dan percaya bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk juga pernah menjadi Menteri Kabinet yang lepas mampu bersama-sama presiden untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.
Beliau juga meminta menghentikan sebarang pertikaian awam terutamanya  membalas kenyataan Tan Sri Annuar Musa.
”Kita yakin dengan pengalaman beberapa bekas Menteri yang masih lagi berada di dalam UMNO tidak kira di peringkat MKT atau Ketua Bahagian, idea dapat digembleng bagi merangka strategi pemulihan ekonomi negara sebaik sahaja UMNO kembali menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Saufi berkata, cadangan itu dibuat susulan polemik dan perbahasan dalam parti yang merebak ke media ini hanya tercetus kerana kebimbangan akar umbi UMNO terhadap kegusaran rakyat dalam melihat angka jangkitan Covid-19 yang semakin buruk, ditambah pula dengan kesesakan hospital serta cabaran ekonomi yang mendatang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keadaan bertambah mencemaskan ekoran PKP kali ini tidak disertakan sebarang bantuan kerajaan yang menyeluruh. Prasyarat sesetengah bantuan yang mewajibkan permohonan rakyat menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional telah terpisah daripada realiti semasa.
Menurutnya, senario bekerja dari rumah, kekangan merentas daerah serta pertambahan cawangan bank yang tutup menyukarkan permohonan apatah lagi proses birokrasi rayuan jika ditolak ditambah pula dengan syarat yang tidak munasabah ataupun kadar faedah yg ditukar tampak menjanjikan masa hadapan yang membebankan.
Tambah beliau, kerajaan masih tidak lagi insaf bahawa gelombang Covid-19 baru ini bukannya salah rakyat semata-mata tetapi dicetuskan oleh VVIP yang melanggar SOP, kegagalan mengawal pergerakan rentas negeri walaupun selepas kemelut pilihan raya Sabah dan juga kegagalan kementerian yang bertanggungjawab memantau penjara serta kilang yang meletakkan pekerja asing dalam
keadaan sesak. – MalaysiaGazette