SERDANG – Tindakan segelintir pesakit Covid-19 dipercayai berjudi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps Serdang mengundang kecaman selepas beberapa rakaman video berkaitan insiden itu tular di media sosial hari ini.
Video berdurasi lima hingga 10 saat itu dimuat naik pemilik Facebook ‘We Are Malaysians’ dengan mendakwa PKRC itu ibarat mini casino.
Berdasaran rakaman video tersebut, beberapa lelaki dilihat berkumpul selain bermain daun terup.
Tiada wang diletakkan bersama, namun kelihatan paket makanan seperti biskut dan mi segera dijadikan sebagai barang pertaruhan.
Setakat ini, hantaran itu sudah dikongsi kira-kira 1,000 pengguna Facebook.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung video tular tersebut.
“Kita sedang siasat sama ada wujud elemen perjudian atau tidak. Jika terbukti dalam keterangan terdapat elemen perjudian tindakan undang-undang akan diambil mereka yang terlibat,” katanya hari ini.
Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap tindakan sekumpulan individu yang disyaki dikuarantin dan dirawat kerana dijangkitan Covid-19 meminum minuman keras di PKRC Sabah sebagai biadap dan kurang ajar.
Tindakan tersebut juga dilihat seperti menghina dan tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan yang digunakan sebagai fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19.
Berikutan itu, kongres tersebut mendesak siasatan diadakan dan disusuli tindakan ke atas mereka yang terlibat, termasuk pihak bertanggungjawab yang membelikan minuman keras. – MalaysiaGazette