Industri seni semakin sukar memandangkan penularan wabak Covid-19 di negara ini belum menunjukkan pengurangan kes. Gambar hiasan
TEMPOH sedia ada yang sememangnya sukar telah menjadi lebih sukar buat kita kerana penularan pandemik Covid-19 di dalam negara belum menampatkan akan kembali reda dalam tempoh yang terdekat. Pada satu ketika kita hampir menang apabila kadar jangkitan dapat dikawal, dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula ‘surut’ menjadi PKP Pemulihan. Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari, Kerajaan kembali menguatkuasakan PKP di beberapa buah negeri dan kawasan serta mengisytiharkan darurat di seluruh negara untuk mengekang musibah yang lebih buruk kepada rakyat dan negara.
Penulis juga kini berada dalam zon PKP kerana berada  dalam daerah Seremban dan semestinya apabila sudah berada dalam zon PKP, banyak perkara tidak boleh dibuat, dilarang dan terbatas untuk dilakukan dan keadaan ini mencetuskan pelbagai kesan rantaian yang negatif, paling kritikal pastinya mereka yang mencari pendapatan secara harian. Ketika negara dilanda gelombang pertama dan kedua Covid-19, ketika itu sudah menyaksikan banyak sektor terjejas dengan teruk sekaligus menjejaskan sektor ekonomi negara dalam skala yang besar.
Perniagaan gulung tikar, pekerja diberhentikan dan gaji dipotong antara kisah keluh-kesah rakyat pasca Covid-19 yang semakin terhimpit hidup mereka kerana kehilangan punca pendapatan. Apabila gelombang ketiga Covid-19 sedang membadai negara dengan dahsyat kini dengan kes harian dilaporkan sekitar 3000 kes jangkitan dan pernah melonjak sehingga 4000 kes, pastinya lebih berganda pihak yang terjejas akibat pandemik ini, dari kehidupan yang sukar kini bertukar menjadi perit dan semakin menyulitkan.
Sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan antara yang terkesan dengan teruk dan masih bergelut untuk pulih. Walaupun di kaca televisyen kita melihat masih melihat pelbagai drama dan rancangan hiburan baharu disajikan manakala di corong radio pelbagai lagu terkini dimainkan, hakikatnya bidang hiburan turut sama bergelut untuk terus bertahan. Menurut kaji selidik yang dibuat oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) pada tahun lalu, dilaporkan sebanyak 93 peratus warga penggiat seni dan kru balik tabir terjejas dengan pandemic Covid-19 ini dengan 70 peratus hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya.
Sememangnya pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang signifikan terhadap industri media, seni dan hiburan negara. Impak jangka panjang krisis kewangan dalam industri ini adalah sangat rencam kerana sejak  Mac  2020, banyak institusi, organisasi  dan syarikat produksi dalam media, seni dan hiburan di seluruh dunia telah ditutup termasuk di Malaysia. Mengambil kira situasi semasa tiga bulan  PKP dikuatkuasakan pada tahun lalu di seluruh negara, tiada produksi baharu yang dapat dihasilkan kerana studio atau syarikat produksi perfileman dan drama tidak dapat beroperasi, persembahan pentas seperti teater dan nyanyian pula ditunda mahupan dibatalkan.
Melalui pemerhatian penulis, dalam konteks industri media, seni dan hiburan, arahan penutupan institusi, organisasi dan syarikat produksi serta amalan normal baharu seperti perlu mengelakkan perhimpunan massa dan berada dalam ruang yang sempit, penjarakan fizikal, memakai pelitup separuh muka di tempat awam sebenarnya adalah satu cabaran yang besar  kepada penggiat seni. Ia sesuatu yang bertentangan  dengan  rutin  industri  seni  dan  hiburan  yang  lazimnya  memerlukan penggiat  seni  bersentuhan secara  fizikal  ketika  berlatih,  membuat  persiapan  akhir  dan melakukan  persembahan. Dek kerana itu mereka yang berada dalam industri seni amat berhati-hati untuk ‘melabur’ kerana takut pulangannya tidak setimpal atau merugikan.
Apabila membaca laporan di media, ada golongan artis yang mengakui sudah lama tidak menerima tawaran lakonan, nyanyian atau persembahan pentas. Justeru sudah ada yang angkat kaki beralih arah seketika menjadikan bidang lain sebagai sumber pendapatan utama atau sampingan bagi menampung kehidupan. Ada yang menjadi pemandu Grab, penghantar makanan, membuka warung kecil meniaga makanan dan minuman serta memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan produk jualan mereka.
Bagi penulis tiada apa yang perlu dimalukan apabila seseorang artis menceburi bidang sebegini kerana ia juga memberikan sumber pendapatan yang berbaloi jika kena gaya. Pada masa yang sama, artis dan penggiat seni lain perlu segera mengadaptasi diri dengan norma baharu demi kelangsungan hidup dan tidak boleh sekadar mengeluh, bersedih dan terus mengharapkan kerajaan sentiasa membantu. Dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, kerjasama antara penggiat seni, pengeluar produk seni dan kerajaan perlu disepadukan untuk memanfaatkan kelebihan platform digital bagi  memastikan industri seni negara terus bernafas.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast