MADRID – Pasukan gergasi Eropah, Real Madrid tumbang di tangan sebuah kelab divisyen tiga dalam saingan pusingan ke-32 Copa del Rey, Sepanyol.
Dalam aksi semalam kelab gergasi itu dimalukan 1-2 oleh kelab Alcoyano.
Anak buah Zidane mendahului perlawanan pada minit ke-45 separuh masa pertama menerusi Eder Militao.
Kegembiraan gol awal skuad Zidane tidak kekal lama apabila Alcoyano dari Segunda Division B itu bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Jose Solbes pada minit ke-80 dan mengheret perlawanan ke masa tambahan bagi menentukan pemenang.
Pasukan itu yang menerima kunjungan pasukan Zinedine Zidane terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas salah seorang pemainnya Ramon Lopez menerima kad kuning kedua dan dibuang padang pada minit tambahan ke-110.
Selepas pertarungan kuat, akhirnya kelab kerdil itu berjaya menundukkan ego skuad kendalian Zidane pada minit ke-115 menerusi gol kemenangan yang sememangnya tidak dijangka oleh the Galacticos.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini dan apa yang seharusnya berlaku akan berlaku juga,” kata Zidane.
Zidane yang pernah mengemudi pasukan menjuarai Liga Juara Eropah tiga musim berturut-turut kini berada dalam tekanan ekoran aksi tidak konsisten pasukannya dalam La Liga kali ini.
Skuadnya kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga Atletico Madrid yang mempunyai dua perlawanan tambahan dalam tangan.
Real memiliki rekod menjulang Piala Copa del Rey sebanyak 19 kali dalam sejarah Sepanyol namun sejak tujuh musim lalu kelab itu gagal mengulangi kejayaan itu dan hanya pernah menang dua kali sejak 1993.
Manakala ini adalah kali kelima sebuah pasukan liga Divisyen 3 La Liga menundukkan Real selepas kali terakhir pada 2001.- MalaysiaGazette