KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS) berkuat kuasa Januari 2021, dengan menggugurkan hampir kesemua pengecualian skop perlindungan tersebut.

Menurut agensi kerajaan itu, PIDM kini melindungi semua manfaat takaful dan insurans yang ketika ini ditawarkan dalam pasaran kecuali manfaat dalam nilai bukan ringgit Malaysia, manfaat polisi yang dikeluarkan di luar Malaysia serta manfaat kematangan, serahan dan pendapatan daripada bahagian unit polisi berkaitan pelaburan.

Dalam kenyataan hari ini, PIDM berkata, perlindungan yang disediakan olehnya adalah sehingga had-had tertentu, sekiranya berlaku kegagalan (muflis) ahli penginsurans.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata,  penambahbaikan yang bertujuan memastikan TIPS kekal terkini dan relevan dengan penawaran produk semasa, juga membolehkan lebih banyak lagi manfaat dilindungi dan seterusnya memastikan perlindungan lebih baik untuk para pengguna.

“Kami juga mahu memudahkan pengguna memahami skop dan had-had perlindungan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang mungkin sebelum ini agak kompleks dan sukar difahami.

“Memandangkan perlindungan takaful dan insurans dapat meringankan beban akibat keadaan yang tidak dijangka sepertimana yang sedang berlaku akibat pandemik COVID-19, kami berharap perlindungan TIPS ini memberi ketenangan fikiran kepada pelanggan dan menggalakkan lebih ramai melanggan sijil takaful dan polisi insurans,” katanya.

Sebagai syarat kelayakan, perlindungan termasuk produk takaful dan insurans perlu dikeluarkan oleh ahli penginsurans PIDM di Malaysia dan dalam nilai ringgit Malaysia.

Orang ramai juga boleh melayari laman web PIDM di www.pidm.gov.my bagi mendapat butiran terperinci berkaitan manfaat yang dilindungi, manfaat tidak dilindungi, had-had perlindungan serta senarai ahli penginsurans PIDM.

TIPS mula berkuatkuasa pada 31 Disember 2010 bagi menyediakan perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans di samping Sistem Insurans Deposit yang ditadbir oleh PIDM sejak penubuhannya pada 2005. – MalaysiaGazette