Ir Suharto Mat Nasir
Ir Suharto Mat Nasir

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Pasir Mas kesal ekoran ketiadaan bantuan daripada kerajaan Kelantan untuk rakyat negeri itu yang berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan pasca banjir.

Ketuanya, Ir Suharto Mat Nasir berkata, kerajaan Selangor telah mengumumkan pakej rangsangan sebanyak RM74 juta selain melaksanakan pemotongan gaji Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai-pegawai tinggi GLC.

Manakala negeri Sarawak pula katanya, telah mengumumkan pakej rangsangan sebanyak RM405 juta.

“Berdasarkan penyata kewangan negeri tahun 2019, kerajaan Kelantan mempunyai lebihan kewangan sebanyak RM308 juta hasil penerimaan RM400 juta dari kerajaan pusat pada bulan Disember 2019.

“Kerajaan Kelantan sepatutnya mengikut langkah negeri-negeri lain dengan memotong gaji menteri besar, Exco, ADUN dan pegawai-pegawai tinggi syarikat GLC negeri.

“Inisiatif bantuan kewangan perlu dihulurkan kepada rakyat. Sewa kedai semua peniaga dan bayaran parking kenderaan di pasar-pasar awam perlu dimansuhkan untuk beberapa bulan.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sewa kedai di premis milik kerajaan juga perlu dimansuhkan serta memberikan diskaun terhadap bayaran eletrik dan air.

Ujarnya, pakej rangsangan juga perlu menyeluruh supaya rakyat Kelantan dapat manfaat bukan pakej bantuan seperti bulan April tahun lalu yang hanya menumpukan kepada lantikan politik dan pejawat awam negeri sahaja. – MalaysiaGazette