Covid-19 vaccine cancer survivors people with disabilities

RABAT – Maghribi menerima dua juta dos vaksin AstraZeneca, sekali gus menjadi negara Afrika pertama yang mula melancarkan program imunisasi percuma di seluruh negara.

Penghantaran vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford itu telah dieksport dari India melalui penerbangan Royal Air Maroc.

Vaksin tersebut turut dieksport ke negara berpendapatan pertengahan dan rendah pada minggu ini.

Setakat ini, penghasilan tiga vaksin Covid-19 yang paling mendapat pengiktirafan ramai termasuk AstraZeneca dikuasai oleh negara-negara maju.

Meskipun Mesir menerima 50,000 dos vaksin dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Disember lalu, namun sehingga kini tiada negara Afrika yang menerima bekalan secukupnya bagi memulakan imunisasi secara besar-besaran.

Selain itu, Kementerian Kesihatan berkata, kempen vaksinasi percuma di Maghribi akan bermula pada minggu depan dengan menyasarkan petugas barisan hadapan termasuk pekerja kesihatan, anggota pihak berkuasa, guru dan warga emas di kawasan yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Sebanyak 3,000 lokasi vaksinasi telah disasarkan termasuk di kawasan yang sukar dijangka sebagai persiapan kepada petugas unit bergerak.

Sebelum ini, Rabat telah membuat pesanan sebanyak 66 juta dos vaksin, dan daripada jumlah itu, 25 juta dos adalah jenama AstraZeneca, yang mana ia mempunyai perjanjian dengan Institut Serum India (SII) dan R-Pharm Rusia.

Jumlah selebihnya adalah perjanjian bersama Sinopharm China.

Maghribi dijangka menerima kumpulan vaksin pertama dari Sinopharm China pada 27 Januari, kata kementerian kesihatan tanpa memberi keterangan lanjut.

AstraZeneca memerlukan dua dos penyuntikan namun tidak seperti vaksin lain, ia tidak memerlukan penyimpanan ultra sejuk, menjadikannya lebih mudah dilancarkan di negara-negara panas dan lokasi terpencil.

Sehingga kini, sebanyak 464,844 kes jangkitan baharu Covid-19 termasuk 8,105 kematian dicatatkan di Maghribi. – MalaysiaGazette