KUALA LUMPUR – Pejabat dan Kaunter Khidmat Pelanggan di Wilayah Kuala Lumpur, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Jalan Pantai Baharu ditutup sementara bermula hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Penutupan pejabat dan kaunter ini bagi proses sanitasi dalam mengekang penularan Covid-19.
“Namun, pelanggan yang tinggal sekitar bandar raya boleh membuat urusan di kaunter berdekatan di Petaling dan Gombak dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.
“Bagi pembayaran bil, kami menggalakkan supaya para pelanggan menggunakan aplikasi dan sistem dalam talian dan hal dilakukan bagi mengurangkan kontak rapat antara pelanggan serta petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Air Selangor menjelaskan pembayaran boleh dibuat melalui perbankan Internet Jompay (Biller Code:4200), aplikasi agensi, portal perkhidmatan pelanggan dan ejen kutipan berdaftar.
Sebarang pertanyaan dan aduan, pelanggan boleh menghubungi talian 15300, secara dalam talian di aplikasi Air Selangor atau layari laman sesawang http://www.airselangor.com. -MalaysiaGazette