Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan bermula esok hingga 8 Februari ini.

Pelaksanaan PKPD itu susulan jumlah kes positif Covid-19 di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan meningkat secara mendadak hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 23 Januari lalu sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan 40 tahanan dan tiga kakitangan penjara.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia juga memaklumkan seramai 5,297 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 55 orang disahkan positif.

Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 210,613 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 8,096 majikan dan daripada jumlah itu sebanyak 4,151 disahkan positif manakala 206,462 lagi negatif.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini sebanyak 861 buah klinik telah terlibat dengan program saringan selari dengan arahan kerajaan mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan. – MalaysiaGazette