Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Proklamasi Darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuatkan rakyat takut dengan kuasa penuh kerajaan.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perasaan itu timbul apabila rakyat secara keseluruhannya berpendapat kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kuasa penuh untuk membuat apa sahaja.

“Ramai mereka yang berpendapat darurat tidak perlu. Mereka sebut beberapa sebab mereka berpendapat demikian.

“Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka. Dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka,” katanya dalam blog beliau hari ini.

Entri beliau yang bertajuk ‘Takut’ itu rata-rata menyatakan kerajaan tidak seharusnya melaksanakan proklamasi darurat kerana ia mempunyai impak kepada masyarakat.

“Saya cuba jelas Kerajaan tidak boleh buat begitu. Tetapi mereka tidak berasa senang.

“Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik – mereka tolak,” jelas beliau lagi.

Mahathir sebelum ini berkata, kerajaan tidak perlu melaksanakan proklamasi darurat kerana mereka mempunyai kuasa penuh untuk menangani masalah Covid-19.

Jelasnya, Malaysia tidak seperti negara barat yang mana rakyat negara ini patuh dengan arahan kerajaan.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Takutttttt… Tapi IKEA penuh macam biasa. Shopping macam biasa….. INi YG MENAKUTKAN, SEBAB RAKYAT TAK TAKUT COVID-19…. DARURAT…. KITA INI DALAM DARURAT KE…. TAK RASA PUN

    YG TAKUTTTTTT DARURAT HANYA POLITIKUS…

Comments are closed.