Komputer riba antara yang digunakan untuk sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan untuk melanjutkan pelepasan cukai khas ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember ini ternyata mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tinjauan MalaysiaGazette semalam mendapati orang ramai terutamanya ibu bapa mengambil kesempatan cuti Thaipusam untuk membeli komputer riba yang kini menjadi salah satu platform pembelajaran dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi danRakyat Malaysia (PERMAI) berkata, lanjutan itu membabitkan pelepasan cukai khas sehingga RM2,500.

Sulaiman Saheh, 46, berkata, pelaksanaan itu nyata membantu meringankan beban golongan yang bekerja kerana dapat menggunakan inisiatif kerajaan untuk membeli komputer riba untuk tiga anaknya.

Sulaiman Saheh ketika dtemui di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

Katanya, walaupun perlu mengeluarkan belanja untuk membeli peralatan tersebut yang akan digunakan bagi pembelajaran dalam talian, namun kelak kos tersebut akan memberikan pelepasan cukai yang tinggi.

“Saya pun tengah tengok laptop untuk anak-anak yang bersekolah. Insentif ini memudahkan untuk kami membeli peralatan elektronik dan sepatutnya kerajaan beri spesifikasi untuk pembelajaran di sekolah.

“Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan melaksanakanpembelian secara pukal daripada satu jenama dengan harga yang sepatutnya kepada sekolah. Itu lebih baik,” katanya.

Ragu Palaniandy.Sementara itu, P. Ragu, bapa kepada tiga anak berkata, pelepasan cukai yang diumumkan itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membeli komputer riba, telefon bimbit atau pun tablet.

Katanya, ia selaras dengan keadaan sekarang ini apabila para pelajar dan pekerja terpaksa melakukan tugasan dari rumah berikutan pandemik Covid-19.

“Memang bagus pelepasan cukai RM2,500 oleh kerajaan, ia memudahkan anak-anak saya untuk memiliki komputer riba bagi melicinkan pembelajaran mereka.

“Saya sambut baik langkah kerajaan, dan meringankan beban saya sebagai bapa dan memudahkan anak-anak untuk belajar dalam talian sekarang,” katanya selepas membeli sebuah komputer riba di Digital Mall, hari ini.

Suriani Yusof membeli komputer riba sebagai persediaan kemudahan anaknya mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

Bagi Suriani Yusof, 40, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana pelepasan cukai itu mendorong  beliau untuk membeli sebuah komputer riba untuk kegunaan tiga orang anaknya.

Komputer riba yang dibelinya merupakan satu keperluan mendesak kepada keluarganya memandangkan proses pembelajaran kini semuanya dijalankan secara maya.

“Kalau bagi saya, pelepasan cukai sebanyak RM2,500 ini amat bagus ia boleh bantu sebab saya beli laptop ini untuk kegunaan anak-anak dalam pembelajaran dalam talian. Kalau tak beli, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran dan IT.

“Saya sebagai ibu membeli laptop ini untuk mereka walaupun anak-anak buat masa ini -perlu berkongsi dengan yang lain. Selebihnya untuk kegunaan terpulang kepada mereka, bergilir ikut masa,” katanya.

Bagi Rosli Mohd, 61, yang bukan daripada kumpulan dikenakan cukai berpandangan bahawa inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah PERMAI itu memang sepatutnya dimanfaatkan oleh golongan yang dikenakan cukai.

Rosli Mohd

“Kalau bagi orang yang bekerja, itu baguslah pelepasan cukai yang diberikan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut meminta kerajaan memikirkan sesuatu untuk kumpulan yang tidak bekerja seperti pesara misalnya yang masih perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli komputer riba, telefon bimbit atau pun tablet untuk kegunaan anak-anak.

“Itu bagus juga kepada mereka. Ia langkah yang bagus untuk beri bantuan kepada mereka yang bekerja. Cuma mungkin perlu ada juga insentif untuk kumpulan yang tidak dikenakan cukai tetapi perlu mengeluarkan belanja untuk membeli keperluan anak-anak,” katanya. – MalaysiaGazette