Reaksi wajah seorang lelaki ketika menjalani ujian saringan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Kluster tempat kerja mencatatkan jumlah kluster terbanyak yang direkodkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 13 kluster tempat kerja telah dikenal pasti selain tiga kluster komuniti.

Antara kluster itu adalah Kluster Jalan Trompet di daerah Klang yang melibatkan 74 kes positif, Kluster Kampung Hala di daerah Sabak Bernam dengan 27 kes dan Kluster Jalan Suasa dengan 29 kes.

Sementara itu, Kluster Jalan Riang (13 kes), Kluster Bintang Utama di Kulai, Johor (29 kes), Kluster Jalan Lombong di daerah Kota Tinggi (11 kes) dan Kluster Bukit Bukit Batu Grisek di Tangkak dengan 18 kes.

Baki enam lagi kluster adalah Kluster Jalan Ketengah di daerah Kuantan (14 kes), Kluster Tanah Putih (19 kes), Kluster Jalan Labuk di Sandakan Sabah (15 kes) Kluster Desa Tun di Cheras (21 kes) Kluster Lingkaran Maluri juga di Cheras (33 kes) dan terakhir adalah Kluster Bayu Tampoi di Johor Bahru (14 kes).

Tiga lagi kluster melibatkan kluster komuniti berlaku di Perak, Terengganu dan Pahang.

“Kluster Lasan melibatkan daerah Kuala Kangsar di Perak. Nama kluster merujuk kepada lokaliti majlis perkahwinan yang dihadiri oleh kes-kes dalam kluster ini iaitu di Felda Lasah, Sungai Siput, Kuala Kangsar.

“Sehingga 30 Januari 2021, sejumlah 71 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif Covid-19,” kata Noor Hisham.

Dua lagi adalah Kluster Tersat yang berlaku di daerah Hulu Terengganu dimana 35 kes telah dikesan positif.

“Terakhir adalah Kluster Taman Amalina yang melibatkan daerah Raub di Pahang. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat tinggal kes indeks iaitu di Taman Amalina, Jalan Lipis, Raub,” katanya.

Sehingga 30 Januari 2021, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Sehingga hari ini, sebanyak 807 kluster telah dikesan di negara ini dengan 420 daripadanya telah tamat.

Bagaimanapun, sebanyak 387 kluster masih didapati aktif dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tanjung Suria (567 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (103 kes), dan Kluster Pasai (96 kes). – MalaysiaGazette