Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) bersama peniaga menunjukkan laporan polis yang telah dibuat berkenaan isu salah guna kuasa politik Ahli Majlis DAP terhadap 100 peniaga pasar pagi Sungai Long, Kajang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2021.

KAJANG – Seramai lebih kurang 25 peniaga Pasar Pagi Sungai Long di sini hari ini telah membuat laporan polis terhadap Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Khoo Khim Kan kerana didakwa menyalahgunakan kuasa.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim Foong Kuan berkata, laporan polis itu dibuat secara berasingan dengan harapan  polis dapat menyiasat ekoran arahan mereka diarahkan berpindah ke Laman Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long dekat sini dan dalam masa sama  membantu mereka dapat terus beroperasi.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim Foong Kuan. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2021.

“Kami harap perkara ini dapat disiasat untuk kami dibenarkan berniaga. Kami hanya mahu berniaga. Kami harap siasatan polis dapat menyelesaikannya,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, peniaga Pasar Pagi Sungai Long menyuarakan ketidakpuasan hati apabila diarahkan menandatangani surat akujanji yang membolehkan mereka beroperasi di kawasan yang sama.

Mereka mendakwa dalam akujanji itu menyatakan para peniaga diarahkan berpindah ke Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long pada 2 Mac depan.

Mengulas lanjut, salah seorang peniaga kecil di pasar itu Fadhil Lihun, 46, berkata, klausa berkenaan mencetuskan tanda tanya dan tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Wakil peniaga, Fadhil Lihun. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2021.

Justeru, Fadhil yang telah berniaga lebih 25 tahun di lokasi terkini bersama rakan yang lain terkejut dan hairan sebab munasabah mereka diarahkan berpindah.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mana-mana pihak untuk tampil membantu membela nasib mereka yang mahu mencari rezeki ketika pandemik Covid-19 ini.

“Kami tidak kira fahaman politik apa pun yang boleh menolong kita itu yang diharapkan. Rakyat macam kami harapkan boleh cari makan tiada gangguan gtiada isu-isu berbangkit.

“Cuma kami sebagai penjaja terlalu berharap waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita mengalami keadaan ekonomi kurang memberangsangkan. Kenapa tidak mahu dipindahkan ke Laman Niaga? Kalau salurannya betul kita bersetuju .

“Boleh berbincang dengan persatuan kalau betul nak pindahkan.Apa statusnya, masalahnya kami perlu tahu. Tiada perbincangan, itu yang penting,” tambahnya.

Turut hadir ketika sidang media hari ini adalah Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Mohd Ridzuan pula berkata, selaku Ahli Majlis, Khoo sepatutnya menyebelahi peniaga bukan turut serta dalam mendesak peniaga Pasar Pagi Sungai Long berpindah.

Oleh itu beliau menggesa agar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan sebelum peniaga mendesak agar Khoo meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas.

“Ahli Majlis kena belajar undang-undang sebenar, mana boleh menekan peniaga atau rakyat. Tanggungjawab Ahli Majlis bawa isu rakyat atau peniaga bincang dalam mesyuarat MPKj di mana peniaga bantah, ada masalah bukan ambil kuas apenuh
mengarahkan MPKj paksa peniaga pindah.

“Kita harap isu ini dapat dibantu oleh Menteri Besar Selangor, beliau perlu memandang serius isu ini. Kalau isu ini tidak selesai kita akan desak suruh pecat Ahli Majlis ini. Beliau perlu letak jawatan,” katanya.-MalaysiaGazette