Sekali lagi dunia hari ini dikejutkan dengan wabak penularan Covid-19. Peningkatan berterusan jumlah mangsa wabak virus ini telah mencetuskan kebimbangan,ketakutan dan kegelisahan penduduk dunia berikutan penularan berita wabak ini yang semakin serius.
Apa yang boleh dipelajari daripada penularan wabak dan keresahan orang ramai ialah mengenai tersebarnya berita-berita palsu yang memburukkan lagi keadaan.
Boleh dikatakan kebanyakan berita mengenai situasi pengawalseliaan wabak ini telah mencetuskan kontroversi dan tidak kurang juga mengundang kebimbangan orang ramai untuk melakukan aktiviti rutin dan akhirnya mengakibatkan kepincangan sektor ekonomi dan pelaburan sesebuah negara.
Banyak berita palsu yang tersebar di media sosial berkaitan dengan isu penularan Covid-19 telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan jenayah yang menyebabkan suasana panik dan tidak terkawal dalam kalangan netizen.
Sudah pasti fenomena negatif yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab harus dibendung dengan penguatkuasaan undan-undang yang lebih tegas supaya perkara seumpama ini tidak berulang dan menganggu kesejahteraan masyarakat.
Fenomena seumpama ini memberikan implikasi besar terhadap corak perlakuan individu atau masyarakat yang akan mengakibatkan keyakinan terhadap berita-berita palsu terutamanya di media sosial begitu ketara dan mempengaruhi pemikiran mereka dalam tempoh singkat.
Dalam konteks yang lebih menyeluruh, penularan maklumat palsu ini menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat disebabkan oleh lambakan ketidakpastian maklumat dari pelbagai sumber yang diperolehi oleh masyarakat melalui banyak sumber media.
Kecelaruan maklumat ini lebih serius apabila maklumat-maklumat yang ditularkan di media-media sosial lebih bersifat sensasi dan menyaingi maklumat dsri sumber berwibawa (iaitu sumber media yang diiktiraf oleh kerajaan).
Puncanya apabila pengguna lebih terdorong untuk mendapatkan berita dari laman-laman media sosial yang banyak memaparkan hal-hal sensasi sehinggakan menggelirukan pemikiran pengguna terutamanya berhubung dengan penularan wabak atau bencana yang berlaku dalam negara atau luar negara.
Bayangkan sekiranya kandungan berita yang dihasilkan oleh penulis blog itu membuat pernyataan atau ulasan mengenai malapetaka tersebut dengan tidak tepat atau dikaitkan pula dengan fakta-fakta yang menggelirukan. Sudah pasti pengguna akan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah seperti ini.
Dalam keghairahan mencipta fenomena kebebasan bermaklumat ini, sering kali kita lupa tidak semua maklumat yang kita peroleh tersebut adalah dari kalangan kandungan yang boleh dipercayai atau berkredibiliti tinggi.
Suatu sistem pengawalan selia kandungan media harus diperkenalkan kepada golongan pengguna supaya mereka tidak terpengaruh dengan kandungan-kandungan jelik atau bersifat fitnah dan penipuan.
Dalam hal ini, kerajaan seharusnya mengambil inisiatif dengan mengumpulkan sumber-sumber maklumat daripada pelbagai agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Agensi Bencana Negara dan pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Maklumat-maklumat ini kemudiannya disalurkan di bawah satu agensi yang dilantik oleh kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum diagihkan kepada saluran media yang diiktiraf tersebut.
Pendek kata, hanya kerajaan,menerusi agensi pengumpulan dan penyebaran maklumat sepusat yang dikenalpasti akan menyalurkan sebarang maklumat tepat kepada masyarakat dari semasa ke semasa.
Ini penting kerana masyarakat menilai kewibawaan maklumat berdasarkan kepada fakta atau sumber yang boleh diyakini mereka, terutamanya apabila maklumat-maklumat tersebut disampaikan kepads mereka secara konsisten dsri semasa ke semasa.
Pengawalseliaan terhadap penyaluran dan penyebaran maklumat daripada agensi kerajaan ini juga harus dilakukan dengan tegas untuk memastikan maklumat yang tersebar itu tidak dimanipulasikan atau disalah tafsir oleh pihak media.
Suatu sekretariat yang dilantik bertanggungjawab untuk menentu sahkan kesahihan maklumat yang diperolehi umum menerusi saluran media sosial harus memandu pengguna menggunakan satu portal yang menyajikan maklumat tepat,lengkap, pantas dan senang diakses oleh semua pengguna media.
Menerusi pendekatan ini juga, sekretariat tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada pelbagai saluran media sosial seperti Facebook,Instragram, Twitter dan tidak terhad kepada portal rasmi sahaja bagi memastikan penyaluran maklumat dapat dibuat secara berkesan, pantas dan memanfaatkan lebih banyak kelompok masyarakat.
Tidak hanya bergantung kepada tempoh masa yang lama, pengaliran berita semasa kepada pengguna seharusnya dilaksanakan dengan pantas dan konsisten tanpa membiarkan pengguna ternanti-nanti dan terdedah kepada rangkaian maklumat media alternatif yang boleh mengelirukan mereka.
Dalam konteks komunikasi,penyebaran maklumat yang berasaskan sumber yang dipercayai dan konsisten,akan menghasilkan maklumat yang berwibawa dan diyakini oleh semua pengguna.
Sehubungan dengan itu, suatu mekanisme yang membolehkan suatu bentuk penilaian ke atas penyaluran maklumat ini harus dibangunkan supaya pengaliran maklumat daripada satu sumber berwibawa yang dihasilkan oleh agensi kerajaan tersebut dapat dipantau keberkesanannya berdasarkan pengaruh dan populariti maklumat tersebut dalam kalangan pengguna.
Ia boleh dijadikan ukuran penilaian terhadap kemampuan dan kesediaan maklumat tersebut mempengaruhi pemikiran dan perlakuan pengguna dalam situasi-situasi kritikal.
Sememangnya bukan mudah untuk menyaingi kebanjiran maklumat-maklumat palsu dalam era media sosial pada masa kini.Namun begitu, sekiranya suatu pendekatan pendidikan etika media diterapkan kepada masyarakat di negara ini, pengguna akan menilai kesahihan dan kewibawaan sesuatu maklumat itu berpunca daripada sumber yang telah ditentu sahkan oleh kerajaan atau agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan.
Penyertaan pengguna dalam perkongsian maklumat dari sumber yang berwibawa secara konsisten akan membantu keyakinan pengguna terhadap pengadaptasian maklumat yang mereka perolehi,terutamanya apabila mereka berdepan dengan ketidakpastian situasi bencana atau malapetaka yang berlaku hari ini atau pada masa akan datang.
Inilah tugas kritikal yang harus dipikul oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab bagi menyalurkan maklumat tepat dan pantas kepada para pengguna untuk memberi gambaran sebenar isu-isu yang dihadapi oleh mereka pada setiap masa semasa berlakunya situasi-situasi kritikal seumpama ini.
Dr. Syed Agil Syed Alsagoff adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia merangkap penganalisis politik.