Kerja-kerja sanitasi telah dijalankan di MRSM Sungai Besar Selangor.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan salah seorang pelajar di MRSM Sungai Besar yang bergejala akibat dijangkiti Covid-19 telah ditempatkan di MAEPS, Serdang.

Walau bagaimanapun pelajar berkenaan tidak kritikal, hanya mengalami gejala batuk.

Dalam kenyataan di sini, MARA turut menafikan tuduhan bahawa MRSM Sungai Besar gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengawal penularan wabak Covid-19 sekolah tersebut.

Kenyataan ini dibuat susulan tular Whatsapp yang diterima dan dihantar kepada orang ramai.

Mesej tersebut mendakwa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya, selain menyatakan pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan.

Mesej itu turut mendakwa wujudnya masalah SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

MARA berkata, MRSM berkenaan telah pun mengambil tindakan segera dengan mewujudkan task force yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala Covid-19 dikesan yang diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf bagi membuat kerja-kerja pensanitasian setiap hari dengan nasihat dan pemantauan daripada pihak bomba.

Langkah-langkah keselamatan telah dibuat di MRSM Sungai Besar susulan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajarnya.Sanitasi keseluruhan bangunan maktab juga telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Januari 2021.

”MARA sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat di kalangan pelajar. Pelajar yang bergejala telah diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok lain serta menggunakan tandas yang berlainan.

”Pengasingan ini telah dibuat sejak 24 Januari lagi di mana pelajar-pelajar ini diasingkan mengikut kategori dan ditempatkan di aras serta blok yang berbeza termasuk penggunaan tandas yang berasingan di bawah pemantauan PKD,” katanya dalam kenyataan di sini.

Di samping itu juga, para pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan-sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan.

”MARA sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar.

Tegasnya, tiada isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan dilaporkan sebaliknya pelajar-pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan yang dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera, selain makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan oleh pelajar.

Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan pembersih nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan langkah pencegahan jangkitan di kalangan pelajar.

MRSM turut mengambil langkah penjagaan dengan setiap warden dan guru bertugas disediakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Susulan mesej yang ditularkan itu, MARA telah membuat laporan polis pada 1 Februari 2021

Ibu bapa dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak.

Tegas MARA, pihak pengurusan sangat mengambil berat dan sentiasa peka akan hal anak-anak, tegas MARA. – MalaysiaGazette