Petugas media ketika bertugas di lapangan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa kerajaan agar memberi perhatian terhadap cabaran getir petugas-petugas media Malaysia yang kini berdepan dengan pandemik Covid-19 dan pemberhentian kerja sejak tahun 2019.

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata, dianggarkan lebih 3,000 kakitangan dalam industri media telah diberhentikan secara berperingkat sejak dua tahun lalu disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pendemik yang berterusan.

Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut.

Sebahagian besar daripada mereka berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menurutnya, bagi bekas pekerja yang menerima pampasan daripada majikan, kebanyakan daripada mereka telah
menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun pendemik yang berlarutan sejak 2019 telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran.

Selain itu, katanya, dalam membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.

Tiada peruntukan khas bagi membeli peralatan keselamatan, pemeriksaan kesihatan mahupun elaun perubatan diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan seharian terutama di tempat-tempat berisiko.

Oleh itu, NUJM berharap agar kerajaan dapat merangka program khas yang dapat membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media dan bekas kakitangan industri ini dengan segera berikutan pengumuman Proklamasi Darurat sehingga Ogos tahun ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada pemulihan industri ini.

Farah berkata, NUJM mencadangkan program-program yang berkonsepkan ‘upskilling’ dan ‘resklilling’, pembangunan usahawan digital, latihan pengurusan perniagaan dan kewangan dan pelbagai program-program lain yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka untuk terus bersaing dalam pasaran kerja serta perniagaan yang diceburi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan tabung bencana bagi membantu petugas media yang ditimpa kemalangan ketika bertugas selain membolehkan bantuan kecemasan dihulurkan dengan kadar segera.

”Dalam situasi semasa yang cukup mencabar ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan amat dihargai serta dialu-alukan untuk membantu bukan sahaja ahli NUJM tetapi industri media secara menyeluruh,” jelasnya yang bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian bagi merealisasikan harapan untuk memastikan kebajikan petugas media terjaga. – MalaysiaGazette