Gelandangan yang telah disaring pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 diperiksa sebelum ditempatkan di Pusat Gelandangan Sementara Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 24 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan bakal membangunkan ladang berkonsepkan urban farming (pertanian bandar) untuk meningkatkan taraf hidup gelandangan di bandar.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ladang berkenaan akan dibangunkan berdekatan dengan penempatan baru gelandangan yang bakal disediakan.

Jelasnya, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menawarkan pekerjaan kepada golongan gelandangan di ibu kota dan menjana pendapatan sendiri.

“Kali ini kita mahu ambil pendekatan berbeza, sebelum ini kita memberikan mereka pekerjaan, namun ada juga segelintir daripada mereka memilih tidak mahu bekerja.

“Jadi kita sediakan konsep baharu, mereka ini kita minta untuk bantu di ladang yang terletak hanya di seberang jalan penempatan mereka.

“Mereka boleh kerja di ladang itu serta menjual hasilnya,” katanya ketika sidang media mengenai Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 yang diadakan menerusi Google Meet, sebentar tadi.

Menurut Annuar, idea konsep urban farming telah tercetus sebelum ini lagi dan ia bolehdilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam pemberian tanah untuk pembukaan ladang.

Bagaimanapun jelas beliau, kajian mendapati golongan gelandangan tidak mahu menetap di negeri lain selain berada di kawasan ibu kota.

“Kebanyakan mereka tidak mahu duduk jauh, lebih selesa berada di bandar. Atas sebab itu kita sediakan ladang berkenaan di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Pada tahun lalu, kira-kira 800 gelandangan ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul; Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Desa Pahlawan; Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras.

Sebahagian daripada mereka turut diberikan pekerjaan selepas menjalani beberapa sesi temuduga yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensi lain.

Terbaru pada 24 Januari yang lalu, lebih 80 gelandangan yang berkeliaran di sekitar ibu negara dibawa ke Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.

Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 (2021) tersebut dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, KPJ Tawakal, Jabatan Imigresen Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette