Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas di Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak menafikan tindakan kerajaan yang melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi bermula 5 Februari ini memberi kesan kepada penjaja dan peniaga kecil.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jika PKP berpanjangan, kesan ekonomi tetap dirasai khususnya kepada penjaja dan peniaga kecil kerana jumlah pelanggan menyusut mendadak.

“Satu perkara yang agak menyedihkan kita, tapi kita terpaksa juga buat, bila kata PKP, tadi pun ramai mesej saya bila dia terkejut bila PKP sambung.

“Mereka mengeluh kerana dia berharap nak mula (berniaga), walaupun dia boleh berniaga tapi pelanggan itu tak ramai.

“Macam mana sekalipun memang semua orang terjejas,” katanya pada sidang media selepas Program Penyampaian Bakul Makanan Kenduri Rakyat Putrajaya yang disiarkan di Live Facebook rasmi KWP, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bahawa PKP 2.0 yang sepatutnya tamat pada 4 Februari ini dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 5 hingga 18 Februari ini.

Pada program itu, sebanyak 1,000 bakul makanan berbentuk baucer tunai bernilai RM100.00 setiap satu dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM100,000 telah diluluskan dan diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Program bagi kawasan Putrajaya telah bermula sejak semalam hingga 16 Februari ini di mana baucer tunai tersebut boleh ditunaikan di pasaraya AEON Big atau CooP Mart di Presint 16, Putrajaya.

Dalam pada itu, Annuar turut berkongsi aduan bahawa terdapat segelintir rakyat yang kini terpaksa bergantung kepada wang simpanan, malah tabungan itu juga menampung keperluan hidup jika PKP berterusan.

“Bila PKP ini berpanjangan, ada seorang tadi dia beritahu dia kata terpaksa guna duit simpanan sejak sekian lama, simpanan pun dah nak habis.

“Itu satu daripada petanda bahawa PKP ini memberi beban kepada semua. Kita harap dengan adanya bantuan ini walaupun sekecil mana, ia boleh membantu,” katanya.

Selain bakul makanan, KWP juga sentiasa prihatin kepada warganya termasuk dengan memberikan pengecualian sewa rumah dan kedai, sekaligus mampu membantu mereka yang terjejas sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.

“Kalau kita dapat beri kepada 23,000 keluarga, ada yang saya beri diskaun dan sewa rumah tak payah, dia dapat sikit diskaun, sewa kedai tak payah bayar, ada pula sedikit sumbangan makanan.

“Jadi campur sana sini sikit dan ada pula program My Beras dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast