Biarlah apa pun yang tidak baik dikatakan mengenai kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, fakta yang tidak boleh dinafikan adalah jutaan rakyat mendapat pelbagai bantuan ketika waktu yang sukar ini.
Saya antara rakyat yang menerima manfaat berkenaan, sewajarnya berterima kasih serta meluahkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin yang prihatin, tidak melayan hal berkaitan politik selagi perang melawan Covid-19 belum berakhir.
Pelbagai bantuan saya terima, ada yang secara langsung dan ada yang tidak.
Empat pakej rangsangan ekonomi dan bantuan untuk rakyat sebelum ini menjadi bukti betapa kerajaan ini serius membantu.
Tidak habis di situ, menyusul pula bantuan terbaru, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) susulan pelaksanaan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ada beberapa insentif dalam PERMAI yang memberi manfaat kepada saya dan ramai lagi, termasuk bayaran pendahuluan RM1,000 melalui skim i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Dengan gaji bulanan saya yang tidak seberapa dipotong majikan, tidak lama selepas Covid-19 melanda Malaysia, saya bersama isteri dan dua anak kami memang benar-benar lega dengan pendahuluan RM1,000 yang diterima.
Ketika memohon dalam Kategori 2 i-Sinar untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP, dimaklumkan wang hanya akan disalurkan pada Februari atau mungkin lebih lewat lagi kerana bayaran kepada pemohon Kategori 1 pun khabarnya mengambil masa berminggu-minggu.
Tidak disangka ada pendahuluan RM1,000 disalurkan terlebih dahulu. Bayangkan betapa leganya bila di dalam akaun tiba-tiba ada wang sebanyak itu.
RM1,000 mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi ia amat bermakna bagi saya dan keluarga serta mungkin jutaan lagi yang terjejas akibat Covid-19 dan bencana banjir baru-baru ini.
Bantuan lain dalam PERMAI yang memberi manfaat kepada saya adalah lanjutan penggunaan data 1GB percuma hingga 30 April 2021.
Tidaklah saya terbeban sangat mengeluarkan belanja melanggan data untuk anak-anak mengikuti kelas dalam talian yang bermula 20 Januari lalu.
Saya juga dapat berjimat kerana PERMAI turut menyenaraikan bantuan dalam bentuk diskaun bil elektrik sehingga sembilan peratus kepada pengguna domestik dari 1 Januari lalu hingga Jun nanti.
Atas semua manfaat itu, saya tidak mempunyai alasan untuk tidak berterima kasih kepada kerajaan, bersyukur kepada Tuhan.