Sekumpulan lelaki ditahan melakukan pertaruhan judi pakau di sebuah inap desa di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan sekumpulan individu menyewa inap desa untuk kegiatan judi terbongkar selepas kesemua mereka ditahan polis dalam satu serbuan di Persiaran Karpal Singh di sini hari ini.

Lapan suspek termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang pada jam 2.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, pihaknya merampas daun pakau, buah dadu dan wang tunai berjumlah RM13,000 dalam serbuan tersebut.

Katanya, polis turut menemui buku nota yang berkaitan dengan aktiviti pinjaman wang haram atau ah long daripada salah seorang daripada mereka.

“Kita percaya mereka menyewa inap desa ini bagi mengaburi mata pihak polis untuk kegiatan perjudian namun berjaya dibongkar hasil risikan dan maklumat orang awam.

“Selain ditahan atas kesalahan berjudi, kesemua mereka turut didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta mengikut Peraturan 16 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar dengan PKP.

“Bagi suspek yang terlibat dengan kegitan ah long pula siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Rahimi menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian haram di negeri ini. – MalaysiaGazette