PKPD dilaksanakan di Kg. Bergosong, Tawau, Sabah.

KUALA LUMPUR – Dua lokaliti di Terengganu dan dua di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu sejak Isnin lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pelaksanaan PKPD yang bermula esok itu berkata, ia melibatkan lokaliti Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters TNB, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Katanya, PKPD di Perak pula melibatkan lokaliti FELDA Lasah dan Kampung Besi Api di Kuala Kangsar yang masing-masing tamat sehingga 17 Februari ini.

Ismail Sabri Yaakob

“Mesyuarat khas hari ini menerima laporan situasi Covid-19 di empat lokaliti, yang masing-masing dua di Terengganu dan Perak.

“Hasil ujian saringan sehingga 1 Februari lalu, menunjukkan kes positif Covid-19 agak tinggi. Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di empat lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di empat lokaliti itu untuk mengawal jangkitan dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, semalam pihak berkuasa menahan 611 individu atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, seramai 601 dikenakan kompaun, manakala 10 individu lagi direman, dengan kesalahan direkodkan seperti tidak memakai pelitup muka 145 individu, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (109), tiada penjarakan fizikal (107), gagal menyediakan peralatan atau merekod diri atau pelanggan (87), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (31) dan lain-lain (82).

Katanya, semalam juga, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah membuat 67,500 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata beliau, seramai 3,055 Pasukan Pematuhan melibatkan 14,648 anggota telah membuat pemantauan di 5,661 restoran, pasar raya (3,901), bank (3,689), penjaja (2,207), kilang (1,478) dan pejabat kerajaan (777) serta turut dipantau ialah 1,098 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (237) dan terminal pengangkutan udara (78). – MalaysiaGazette