KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi tercedera dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di Hulu Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan maut itu pada malam Ahad.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan maut itu berlaku pukul 6.58 petang.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua motosikal.
“Semasa kejadian, kereta Perodua Bezza sedang dalam perjalanan dari Rawang menuju ke Ulu Yan Bharu sebelum cuba memotong kenderaan di hadapan.
“Namun pemandu Bezza gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum melanggar dua motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran perlanggaran kuat itu, Ahmad Faizal berkata, salah seorang penunggang motosikal berusia 57 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan di lokasi nahas tersebut.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 53 tahun pula turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Selayang.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan proses bedah siasat akan dilaksanakan bagi menentukan punca kematiannya.
“Sementara itu, pemandu Perodua Bezza lelaki berusia 54 tahun telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 3 Julai ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta itu mengaku minum sebotol bir bagaimanapun kita masih menunggu laporan toksilogi bagi mengesahkan tahap kandungan alkohol dalam darah suspek untuk tindakan selanjutnya kelak,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis turut meminta kerjasama orang ramai serta saksi yang melihat kejadian atau mempunyai makkumat tambahan berhubung kejadian itu tampil segera untuk membantu siasatan polis dalam kes ini. – MalaysiaGazette