Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berjalan keluar selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah menerima permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan beliau berpuas hati dengan alasan serta hujah yang dikemukakan oleh pembelaan untuk menangguhkan kedua-dua hukuman penjara dan denda itu sehingga selesai rayuan pemohon.

Namun Mohd Nazlan memutuskan tertuduh perlu membayar wang jaminan sebanyak RM1.5 juta selewat-lewatnya jam 2 petang esok selain daripada melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga proses rayuan ini selesai.

Terdahulu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Menteri Besar Negeri itu selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohd Nazlan ketika membacakan penghakiman  berkata, hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesilapan serupa.

“Kita mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri Kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius  yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” ujarnya.

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad memeluk erat ahli keluarganya selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

Dalam pada itu, ketika keluar ke perkarangan mahkamah sebentar tadi, untuk seketika kelihatan beberapa orang dipercayai keluarga Isa menangis dan berpelukan dengan beliau.

Bagaimanapun Isa tampil tenang dan sempat bercakap dengan petugas media sebelum menaiki kenderaan untuk pulang, ketika dijatuh hukuman beliau juga tenang walaupun sesekali menundukkan kepalanya.

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad memeluk erat ahli keluarganya selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

Beliau dituduh menerima wang tersebut daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette