Bekas Pengurusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berjalan masuk ke mahkamah bagi mendengar keputusan akhir atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM 3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel and Suites (MPHS) oleh felda investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 03 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mula membacakan penghakiman pada jam 9.50 pagi memutuskan Isa bersalah selepas mendapati pembelaan gagal mematahkan kes atas imbangan kebarangkalian.

Isa yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika penghakiman itu dibacakan oleh Mohd Nazlan.

Ketika ini, pihak pembelaan sedang membuat rayuan bagi hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mohd Nazlan dijangka menjatuh hukum sebentar lagi selepas proses mitigasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. SALAH SEORANG MENTERI PADA JAWATAN NYA DAHULU YANG PALING TAK BOLEH PAKAI..
    TIADA KEMAJUAN SEWAKTU MEMERINTAH NEGERI SEMBILAN..
    MENGENYANGKAN TEKAK SENDIRI DAN KELUARGA..

Comments are closed.