SEBERANG PERAI – Taktik seorang lelaki berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum mencabul seorang juruwang membawa padah selepas dia diberkas polis dalam satu kejadian di Taman Seri Serdang, Kepala Batas, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 30 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa cabul suspek pada Sabtu lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mengekori mangsa yang baru selesai waktu kerja hingga ke rumahnya sebelum berpura-pura tanya sesuatu.
“Ketika wanita berusia 22 tahun itu menjawab pertanyaan suspek dikatakan telah mencabulnya sebelum melarikan diri.
“Mangsa kemudian menceritakan kejadian tersebut kepada keluarganya sebelum abangnya keluar bagi mencari suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, abang mangsa bersama rakannya bertembung dengan motosikal suspek yang ketika itu cuba keluar ke jalan besar, namun suspek berjaya melarikan diri.
“Lelaki berkenaan sempat mencatit nombor pendaftaran motosikal suspek sebelum membawa adiknya melaporkan kejadian kepada pihak polis.
“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette