Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mendedahkan syarikat itu kerugian lebih RM450 juta dalam projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.

Susulan itu, Prasarana akan membuat laporan kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) beradasarkan kepada laporan audit dan forensik dalaman yang dijalankan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerugian itu melibatkan perasi dan penyelenggaraan projek MMMSL dari 2015 hingga 2018.

“Prasarana tanggung kerugian daripada projek di Arab Saudi sebagai operator dan penyelenggara di Mekah 417 juta Riyal untuk 2019.

“Laporan awal audit projek ini sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Risiko Audit (ARC) yang kemudiannya mendapati ada masalah meruncing lain dan perlu kepada pemeriksaan lanjut sejurus kontrak tamat, pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai status projek operasi tren MMMSL, hari ini.

Menurut Tajuddin, kerugian itu didakwa dilakukan oleh Lembaga Pengarah Prasarana dan anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME).

“Terdapat penglibatan pegawai Lembaga Pengarah Prasarana dan PRIME,” katanya.

Langkah itu diambil selepas mesyuarat pagi tadi memutuskan supaya tindakan lanjut perlu diambil ke atas syarikat tersebut.

Dalam kenyataan media yang diberikan Tajuddin memaklumkan banyak pegawai dalam syarikat berkenaan terlibat dalam projek ini.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, kebanyakan mereka telah meninggalkan Prasarana.

“Penyiasatan memerlukan kerjasama daripada subkontraktor dan perunding sebelumnya yang berpusat di luar negara.

“Selain itu, para penyiasat juga perlu menyaring sejumlah besar dokumen, yang dipindahkan dari Arab Saudi ke Malaysia,” jelas Tajuddin.

Projek MMMSL merujuk kepada operasi Stesen Arafat 1 dan Stesen Jamarat di utara Mekah.

Projek itu diperoleh Prasarana pada 16 April 2015, melalui PRIME untuk tempoh tiga tahun bagi mengendalikan laluan, mengambil alih daripada China Railway Construction Consortium. – MalaysiaGazette