Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Kehilangan seorang pekerja kilang pakaian sejak 20 hari lalu terjawab selepas mayatnya ditemui dalam keadaan reput di dalam longkang tempat kerjanya di Taman Perindustrian Beringin, Juru di sini semalam.

Mayat lelaki warga Bangladesh itu ditemui pengurus jualan syarikat berkenaan pada jam 1.30 tengah hari selepas melihat ulat serta bau busuk dari arah longkang yang terletak di bahagian kanan kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil pemeriksaan polis menemui mayat Mohammad Rajib Mia, 29, dalam keadaan reput dan ditutup dengan bongkah simen di dalam longkang tersebut.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan hilang sejak 15 Januari lalu, namun tiada laporan polis dibuat.

“Hasil soal siasat terhadap pekerja kilang berkenaan membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kilang milik syarikat yang sama di Simpang Ampat di sini.

“Supek berusia 21 tahun itu mengaku membunuh mangsa menggunakan sebatang besi.

“Selain itu terdapat kesan darah di tingkat atas premis yang dijadikan lokasi penginapan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berpandukan maklumat daripada suspek, polis menemui sebilah pisau, tukul besi serta satu batang besi yang digunakannya untuk membunuh kira-kira dua meter dari lokasiĀ  mayat mangsa dijumpai.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan bedah siasat terhadap mangsa akan dibuat di Hopsital Seberang Jaya,” jelas Shafee.- MalaysiaGazette