Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing.

KUALA LUMPUR – Semua negara perlu berusaha keras untuk menangani penularan Covid-19 secara berterusan dalam usaha untuk mengekalkan trend mega pendidikan antarabangsa.

Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing berkata,  ini kerana pandemik yang melanda dunia awal Januari tahun lalu telah mengubah dan merencatkan landskap global termasuk pendidikan tinggi yang mengehadkan peranan universiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik kuliah.

Jelas beliau, pendekatan baharu dalam pengajaran secara dalam talian (online) antara kaedah terbaik bagi memastikan sistem pengajaran  pelajar agar tidak terganggu.

“Dalam situasi ini, universiti  dan tenaga pengajar perlu menyediakan pelan daya tahan dan strategi pembangunan universiti yang mampan. Asasnya, kelangsungan universiti adalah penting sebagai institusi penyedia pendidikan tinggi negara. Covid-19 yang melanda dunia perlu ditangani habis-habisan.

“Bagi menangani cabaran Covid-19, langkah penyesuaian dan perubahan operasi universiti perlu dikemaskini. Universiti perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan usaha dalam  proses pengesanan, saringan dan pengawalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kok Wing menambah, penambahbaikan universiti yang berterusan perlu dikekalkan yang berteraskan matlamat pendidikan dalam menangani Covid-19.

Jelasnya, trend mega seperti Industri 4.0 dan ekonomi digital yang dipacu oleh Internet of Things (IoT) perlu dirancakkan kembali untuk membangunkan potensi keinsanan, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan untuk untuk kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

“Dengan memanfaatkan trend menangani Covid-19 hari ini, sektor pendidikan perlu diperkasa semula bagi memastikan graduan dan pola tenaga kerja dan perniagaan baharu Malaysia dilaksanakan dengan berdasarkan perubahan dan norma baharu hari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast